Salam lembaran dari penulis buat semua,
Pertama sekalinya, penulis ingin memohon beribu ampun dan maaf kerana sudah lama tidak mengemaskinikan blog penulis di atas kesibukan di tempat kerja yang memerlukan penulis untuk menumpukan lebih perhatian terhadap kerjaya penulis. Hari ini penulis berkesempatan untuk menukilkan curhat penulis sepanjang apa yang berlaku dalam diri penulis hingga kini.
Penulis sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Itu lah umpama apa yang berlaku dalam diri penulis kini. Cabaran serta tekanan kehidupan yang sangat mencabar kini benar-benar menguji tahap kesabaran penulis yang tidak putus dilanda dugaan serta ujian dari-Nya, bukan mengeluh namun sebagai manusia, penulis punya hati dan perasaan yang kadang kala jika dibiarkan akan menjadi kanser dalam diri yang akhirnya memakan diri sendiri. Kala orang lain bergembira penulis berduka lara, mengumpul semula kekuatan dalam menghadapi tekanan kehidupan yang terlalu mencabar diri penulis. Lumrah seorang business consultant adakalanya penulis berada nun di atas sana namun kala penulis tersungkur, penulis tersungkur di gaung yang dalam yang memerlukan penulis bersabar untuk mendaki semula ke puncak yang pernah penulis kecapi suatu masa dahulu.
Tekanan demi tekanan membuat kan penulis rasa hilang arah dan tujuan apatah lagi bila penulis kehilangan insan yang terlalu istimewa dalam diri penulis, ibu saudara penulis sudah meninggal dunia setahun yang lalu setelah bertarung nyawa dengan penyakit kanser yang dihidapinya, bagi penulis, arwah merupakan seorang yang ceria serta selalu memberikan kata-kata semangat dan selalu menyentuh perasaan penulis dengan nasihat yang berguna dan akan selalu memeluk penulis dengan berbisik semuanya akan baik-baik sahaja. Allah, penulis sememangnya merinduinya namun penulis redha dan terima ketentuan-Nya yang arwah adalah milik-Nya. Pemergiannya ke hadrat Ilahi merupakan suatu tamparan hebat buat penulis kerana penulis bagaikan layang-layang terputus talinya namun penulis yakin syurga lah tempat bagi arwah, Insya-Allah.
Penulis juga hingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata yang bagi penulis penyeri kehidupan perkahwinan seseorang. Bukan menyalahkan takdir yang telah diberikan kepada diri ini namun penulis x berhenti berharap pada-Nya suatu hari nanti kehidupan suram penulis dan isteri akan bertambah baik dengan kehadiran cahaya mata yang memeriahkan kediaman kami yang sunyi bak perkuburan. Penulis seronok melihat rakan taulan dan saudara mara yang baru dikurniakan cahaya mata namun jauh di sudut hati penulis, terdetik perasaan sayu, sedih kerana penulis masih belum dikurniakan cahaya mata, walaupun rezeki itu semua dari Allah SWT namun sebagai manusia, penulis ada hati dan perasaan; ahhh persetankan semua itu, penulis yakin ada yang lebih baik sedang menanti penulis yang x putus berusaha walaupun hati sakit dan jiwa terseksa. Kadang kala ada sahaja orang yang selalu bertanya bila kami akan bertiga, soalan yang terlalu sukar untuk dijawab oleh penulis namun penulis hanya senyum dan berlalu pergi. Senyum dengan seribu satu luka di hati. Oleh kerana ingin menjaga hati penulis dan pasangan penulis, penulis berkeputusan untuk tidak menghadirkan diri ke mana-mana majlis keraian seperti perkahwinan, kenduri-kendara, semata-mata untuk memujuk hati ini dari terus dilukai dan jiwa ini disakiti.
Ini baru sebahagian dari apa yang penulis terpaksa lalui dalam tekanan kehidupan yang terlalu mencabar ini. Tekanan yang selain ini penulis putuskan untuk tidak menulis di sini kerana biarlah rahsia dalam diri penulis yang hanya akan terungkai di hari penghakiman di sana nanti. Manusia di dunia ini hanya tahu menghukum dari mengambil tahu apakah yang berlaku sebenarnya ini tidak mereka hanya tahu menghukum diri ini. Biar lah.... Penulis lebih kenal diri ini dari mereka di luar sana. Namun penulis rasa lega kerana dapat melepaskan tekanan dalam benak penulis ini. Biar lah apa orang nak kata, namun penulis akan terus melangkah walaupun duri menyucuk diri ini.
-Fadhil Zhafri-
1250 hrs
Petaling Jaya
No comments:
Post a Comment