Sabtu 2 October 2010, aku baru selesai menghadiri mesyuarat kejiranan di tempat tinggalku apabila tiba-tiba BlackBerry Messanger ku berbunyi. Aku sangkakan siapa agaknya yang menghantar pesanan ringkas kepada. Pesanan itu berbunyi "Haji Jalil had just passed away at 0005 hrs just now -Najwan Halimi-" kala aku mendapat pesanan tersebut, aku bukan setakat terkejut malahan teringat kembali akan susuk tubuh seorang warga USJ4 yang amat disegani kejiranan di sana kala aku tinggal di sana. Apa taknya, insan yang berjuang dalam membangunkan Masjid An-Nur USJ3 & 4 dan juga pengerusi pertama masjid tersebut.
Masih aku teringat bagaimana dia bersama-sama kariah USJ 3 & 4 bertungkus lumus dalam menyiapkan Masjid An-Nur USJ3 & 4 sebelum bulan Ramadhan, waktu tu aku baru sahaja berusia 14 tahun. Sewaktu kami menunaikan solat Terawikh buat julung kalinya, keadaan masjid masih tidak sempurna, tiada permaidani, keadaan persekitaran masjid yang masih berlopak kerana baru siap dibina. Aduh, sungguh cepat masa berlalu. Dia seorang yang tegas dengan pendiriannya tetapi dia juga merupakan insan yang begitu mengambil berat terhadap kebajikan jemaah masjid An-Nur.
Mengapa aku mengingati Allahyarham Haji Jalil nie kerana aku membesar di dalam sebuah komuniti yang harmoni serta mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat USJ 3 & 4 secara keseluruhannya sewaktu beliau menjadi pengerusi Masjid An-Nur. Allahyarham bagaikan seorang datuk yang menyayangi cucunya, tegas, garang tetapi penuh dengan kasih dan sayang. Jika beliau merupakan orang yang pertama yang mengasaskan serta merealisasikan Masjid An-Nur USJ 3 & 4, beliau jugalah jemaah pertama dalam komuniti USJ 3 & 4 yang diuruskan jenazahnya di Masjid An-Nur, setelah bilik pengurusan jenazah berjaya di realisasikan di situ pada tahun lepas.
Jasa serta pengorbanan Allahyarham Tuan Haji Abdul Jalil Bin Bahari akan sentiasa di ingati oleh segenap lapis masyarakat khususnya jemaah Masjid An-Nur USJ 3 & 4 termasuklah diriku. Ku harapkan agar rohnya tenteram serta di cucuri oleh Nya. Akan ku abadikan kenangan ku bersamanya jauh di sanubariku. Al-Fatihah buat Tuan Haji Abdul Jalil Bin Bahari (1932-2010) ~Amin~
Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Abdul Jalil Bin Bahari. Jasa beliau dalam membangunkan Masjid An-Nur tidak akan dilupakan sehingga akhir hayat.
ReplyDelete