Nuffnang Ads

Thursday, February 10, 2011

AMG= Aku Makin Gemuk!!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai pembaca budiman. Kita bertemu lagi dalam lembaran aku yang tidak
seberapa ini. Ya topik yang aku ingin kongsikan bersama dengan kalian semua adalah berkaitan AMG, bukan suatu jenama yang gah mewarnai jentera mewah berjenama Mercedes-Benz tetapi mengenai diriku yang semakin 'membesar'. Ya AMG= Aku Makin Gemuk, aku tidak dapat bayangkan betapa berisinya aku kini jika dibandingkan diriku sembilan tahun yang lalu. Oh tidak!!! Aku tidak percaya ini yang berlaku pada diriku setelah hampir 2 tahun aku bergelar suami kepada isteri yang ku sayangi selalu, Norshahidah. Mungkin kata orang perkara ini biasa apatah lagi setelah bergelar suami orang. Tetapi ada kalanya aku mencemburui rakan-rakanku serta saudara maraku yang masih mengekalkan bentuk tubuh yang sasa dan ramping walaupun sudah bergelar suami orang. 

Pelbagai cara telah aku lakukan untuk aku merampingkan tubuh badan ku yang semakin menjadi-jadi montelnya antaranya senaman (bukan 'senaman' ya), menjaga diet seperti mengurangkan makanan berminyak dan nasi tetapi hampa dan akhir sekali mengelak dari makan malam atau tengah hari. Aduh, capek aku memikirkan ikhtiar apa lagi yang harus aku lakukan agar aku kembali kepada bentuk tubuh ku seperti lapan tahun lalu. Aku rindukan bentuk tubuh yang kurus lampai dengan muka yang tidak terlalu tembam atau cengkung. Kadang kala aku terasa kehilangan keyakinan diri kala melihat tubuhku yang semakin montel ini, kerana aku merasakan yang aku tidak lagi seperti dahulu. Tambahan pula aku risau bila melihat risalah-risalah yang menyentuh penyakit anak dara tiga serangkai yang menyatakan bentuk tubuh yang terlalu montel boleh menjurus kepada penyakit tersebut.

Pernah  aku cuba untuk tidak makan langsung tapi dengan hanya meminum air kosong suam sepanjang masa tetapi hampa kerana gara-gara itu, aku nyaris-nyaris kena gastrik, penyakit yang telah lama tidak menyerang ku buat sekian lamanya. Aku kini dalam dilemma kerana aku ingin kembali kurus seperti diriku suatu masa dahulu namun kini, aku tidak memahami mengapa secara tiba-tiba selera makan ku bertambah dan ini yang menyebabkan tubuh badanku naik secara mendadak. Bersenam sudah, diet sudah, mengelak makan malam atau tengah hari pun sudah tetapi hampa.  Aduh, kadang kala rasa marah pada diri ini pun ada juga kerana bentuk fizikal yang tidak seindah aku suatu masa dahulu dan aku menyalahkan diriku kerana selera ku yang begitu kuat. Aku sebolehnya ingin mengurangkan selera makanku agar aku boleh menguruskan balik badanku. Aku ingin kelihatan hebat, kacak, tampak jauh lebih muda dari usia ku yang sebenarnya. 

Akhir kalam, aku akan terus berusaha untuk menurunkan berat badanku yang semakin montel ini, dengan apa cara sekalipun. Kadang kala aku terfikir bagaimana orang lain boleh mengekalkan bentuk tubuh mereka walaupun mereka makan banyak, mungkin akan ada maklum balas di sini sebentar lagi. Aku harap agar Aku Makin Gemuk (AMG) ini dapat diubah kepada Aku Makin Gorgeous, kan lebih sedap bunyi nya itu... :-) 

Salam Ikhlas dari diriku,


















-Fadhil Zhafri-
2345 hrs
Ara Damansara

1 comment: