Nuffnang Ads

Friday, February 18, 2011

Ragam Pemandu-pemandu Malaysia


Topik pada malam ini bukan lah topik politik tetapi realiti mentaliti pemandu-pemandu kenderaan di Malaysia. Pemandu-pemandu ini tidak kiralah yang bawak sekecil-kecil Kancil dan sebesar-besar cap tiga bintang, semuanya sama sahaja. Tidak perlu kita menuding jari kepada mana-mana pihak yang terbabit kerana sama ada kita perasan atau tidak bahawa ada tiga jari lagi sedang menuding kembali ke arah kita. Aku suka mengupas topik ini kerana aku telah banyak menyaksikan ragam-ragam pemandu Malaysia yang bermacam-macam yang aku rasakan kalau aku huraikan dalam topik ini rasanya sampai bila-bila pun tidak akan habis. Baiklah aku ingin berkongsi dengan kalian semua tentang pengalaman yang aku lalui bersama pemandu-pemandu lemah akal ini (bukan semua ya) sesiapa yang terasa itu, harap di maafkan ya kesalahan aku kerana aku sekadar meluahkan perasaan, tidak bermaksud apa-apa pun.

Tengah hari tadi, selepas aku menjalankan tugas melawat panel-panel pengedar di sekitar Petaling Jaya, aku teruskan perjalanan ku ke Bangsar untuk melawat pengedar yang seterusnya dan bersolat Jumaat di sana. Tiba-tiba kala aku menghampiri susur keluar ke Seksyen 16 Petaling Jaya, aku ternampak sebuah kereta Toyota Vios E-Spec (siap hafal spec lagi tu hehehe) terhegeh-hegeh masuk ke persimpangan itu tanpa menyedari ada sebuah kereta Wira di tepinya, lalu dengan marahnya dia mengacukan jari tengah nya  (F*** YOU!)ke arah pemandu Wira tersebut. Tanpa semena-mena pemandu Wira itu keluar lalu mengherdik pemandu Vios itu, rupanya pemandunya seorang wanita pertengahan umur yang terus terdiam seribu bahasa kala di herdik pemandu Wira tersebut. Geli hati aku melihat ragam-ragam pemandu tersebut, menunjukkan kelemahan masing-masing di khalayak ramai kala semua orang sedang berpusu-pusu untuk menunaikan solat Jumaat.

Adegan pertama sudah selesai, sekarang adegan kedua. Selepas lampu isyarat persimpangan Seksyen 16->KGPA->Phileo Damansara, ada pula sebuah motor, aku rasakan yang penunggang itu terlelap atau ingin cepat tiba ke lokasi dituju menghimpit kereta aku. Namun aku menghormati penunggang tersebut kerana beliau mengangkat tangan tanda minta maaf. Aku suka cara penunggang tersebut kerana mengaku akan kesalahannya, kerana ada segelintir penunggang pula yang tak pasal-pasal memaki hamun pemandu lain kerana menghimpit mereka sedangkan mereka yang menghimpit pemandu tersebut. Bila aku menghampiri susur keluar Bukit Damansara->Bangsar, keadaan trafik agak sesak kerana banyak kenderaan dari pelbagai jenis memotong barisan. Ini adalah senario biasa di mana-mana tempat baik di Malaysia mahupun di luar negara, oleh kerana aku memahami akan perasaan pemandu-pemandu yang lain aku mengalah, aku teruskan perjalananku menghala ke arah Pusat Bandar Damansara dan keluar melalui jalan Medang Tanduk, Bangsar. Selesai satu perkara, tak perlu di maki hamun dek pemandu-pemandu lain. Akhirnya aku sampai jua ke destinasi ku, NAZA-Brabus Motor Sdn Bhd. 





   

Selesai solat Jumaat, aku teruskan agenda aku dengan berbincang dengan pasukan jualan NAZA-Brabus berkenaan hal kerja hingga jam 1640hrs waktu Malaysia Barat. Aku kemudiannya meneruskan perjalananku ke Zaibi Motor bertemu dengan pengurus rangkaian pengedar kereta import tersebut. Selesai bermesyuarat, aku akhirnya meneruskan perjalananku menghala ke rumah orang tua ku di Ara Damansara. Sewaktu aku dalam perjalanan ke sana, seperti biasa lebuh raya tersesak di metropolitan Kuala Lumpur; Lebuh Raya Persekutuan akan dipenuhi kenderaan yang ingin cepat sampai ke rumah mereka untuk mengejar waktu solat Maghrib. Seperti biasa aku menyalakan lampu isyarat untuk masuk ke laluan tengah, tiba-tiba ada sebuah Kelisa ini menghalang laluan ku. Aku rasakan yang aku tidak bersalah kerana aku sudah pun memberikan isyarat untuk masuk, tetapi aku diacukan jari tengah lagi oleh pemandu Kelisa tersebut.Tapi aku angkat tangan tanda minta maaf, tidak mengapa kerana aku memahami semua sedang bergegas untuk pulang ke rumah untuk memasak untuk keluarga, tambahan pula petang hari minggu. 

Apa yang aku lalui hari ini merupakan sebahagian dari puing-puing rapuh kehidupan yang bukan setakat aku bahkan semua orang yang perlu melaluinya. Manusia ini pelbagai ragam, ada yang timbang rasa dan ada yang tidak, ada yang mementingkan keselamatan semua orang termasuk dirinya bahkan ada juga orang yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan akibatnya terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Aku pasti, negara-negara maju yang lain juga mempunyai masalah ini seperti negaraku yang tercinta ini. Namun semuanya bermula dari mata ke hati, kita melaungkan mentaliti kelas pertama tetapi mengapa kita mempunyai prasarana yang terbaik sedangkan minda rakyat kita bukan yang terbaik. Fikir-fikirkan lah dan selamat beramal. 























-Fadhil Zhafri-
0037 hrs (WMB)
Shah Alam

No comments:

Post a Comment