Nuffnang Ads

Wednesday, February 9, 2011

Aku Pasrah.....

Posting ini tidak ada kena mengena dengan perasaan kecewa atau kekeliruan diri ini yang sedang menaip ini atau pun mengenai seseorang yang hidup mahupun meninggal dunia. Aku terfikir untuk menukilkan ini kala aku dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menziarahi dealer aku yang terakhir sebagai penutup kerja ku hari ini. Kala memandu seorang diri menghala pulang ke teratak burukku, aku teringat akan kisah-kisah lama yang pernah ku alami suatu ketika dahulu.

Aku pernah kehilangan seorang kawan baik sewaktu aku menuntut pengajian diploma di Universiti Teknologi MARA. Sungguh terkilan di hati ini kerana aku hanya mengetahui akan kematiannya setelah 6 bulan dia meninggal dunia. Kali akhir aku menziarahi arwah pada jangkaan ku dua bulan sebelum dia meninggal dunia. Dia di sahkan menghidap penyakit kanser sel darah atau lebih dikenali sebagai leukemia setelah rebah di dalam biliknya akibat demam panas. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui betapa sedihnya hati ku kala mengingati saat-saat indah bersamanya sebelum dia meninggal dunia. Aku terhutang budi dengannya kerana dia berjaya menemukan aku dengan rakan-rakan lama ku sewaktu tinggal di Batang Berjuntai (rujuk An Excerption from My Old Blog). Masih aku teringat ketika aku menemani dia sewaktu di rawat di Hospital Kuala Lumpur; itu lah kenangan terindah dalam hidupku.... Aku terkilan kerana arwah kini telah tiada dan jika tidak, pastinya dia sudah pun berkahwin.

Aku pernah kehilangan kereta. Perodua Kancil EZ850 merupakan kereta pertama ku yang belum sempat aku pandu sepuas-puasnya di curi sewaktu aku bekerja sambilan di MCIS Insurance (Kini MCIS Zurich Insurance). Itu merupakan dugaan terbesar dalam hidupku kerana itu merupakan kereta baru, yang abah belikan untuk kemudahan aku berulang alik kala aku mendapat tawaran sambung belajar di universiti namun apakan daya, aku hanya mampu memakai selama sebulan sahaja sebelum kereta itu di curi oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan aku sentiasa berdoa agar balasan setimpal diberikan terhadap manusia yang menganiaya diriku. Aku terkilan, rasa bersalah terhadap ibu dan abah ku bahkan menjadi fobia setiap kali aku meletakkan kereta ku di parkir. Agak lama sebenarnya aku mengambil masa untuk lari dari perasaan fobia itu tetapi apakan daya hidup mesti diteruskan.

Sewaktu aku melanjutkan pengajian diploma, aku pernah merasa hidup seorang diri tanpa rakan-rakan di sisiku kerana mereka tidak dapat menerima diriku seadanya hanya kerana aku ini pelik dari yang lain. Aku sendiri tidak tahu apa peliknya aku ini tapi ada orang pernah bagitahu aku yang aku ni lain dari yang lain. Mungkin betul rasanya, aku pernah pergi kelas sorang-sorang dengan manusia memandang aku dengan wajah yang penuh menjengkelkan, bukan mengungkit tetapi berkongsi curhat ini, umpama aku ini lah manusia paling menjengkelkan di mata mereka. Ahh persetankan mereka, aku harungi jua dengan hati yang tabah dan kuat. Tetapi perjalanan akhir pengajian ku di sana merupakan yang terbaik kerana aku bertemu dengan beberapa rakan-rakan baru di sana dan aku kembali ceria selepas itu sehingga tamat pengajian ku pada tahun 2004. Kepada mereka yang pernah menceriakan tahun akhirku di sana, kalian memang yang terbaik.

Dugaan datang dan pergi dalam kehidupan ini, hadapilah dengan hati yang tenang, tabah dan ikhlas dengan dugaan-Nya. Aku pasrah dengan apa yang berlaku terhadap diriku pada masa  lalu dan apa yang bakal mendatang di masa hadapan. Kepada rakan-rakan diploma ku, aku tidak pernah menyalahkan kalian semua mungkin masa itu kalian belum mengenali diri ini, tak mengapa aku telah pun maafkan kalian semua. Buat arwah sahabatku, tiada apa yang mampu ku lakukan melainkan berdoa agar engkau tenang di sana menghadapi-Nya amin..... buat pencopet kereta Kancil ku, aku doakan engkau cepat-cepat lah bertaubat, jangan aniaya orang ye....

Sesungguhnya aku pasrah.........

-Fadhil Zhafri-
2045hrs
Shah Alam

2 comments:

  1. Hidup ini memang penuh dgn dugaan & cubaan. Hanya mereka yg dikasihi Allah sahaja yg sering diuji sedemikian. Bersyukurlah Dia masih memandang kita...

    ReplyDelete