Nuffnang Ads

Saturday, February 26, 2011

Muar, Sama Seperti Dahulu

Walaupun masa telah berlalu dan zaman semakin canggih dengan adanya jalur lebar berkelajuan tinggi namun, kampung halaman orang tua ku masih lagi utuh berdiri dan terus membangun. Aku mengambil kesempatan hari Sabtu bersama-sama isteri, dan kedua ibu bapaku balik ke Bandar Maharani, Muar semata-mata untuk mengembalikan nostalgia manis di situ. Ya, aku walaupun dilahirkan di Perak namun, semangat orang Muar sudah sememangnya sebati dengan jiwaku kerana aku dibesarkan dengan semangat orang Muar, tempat asal usul ibu dan bapaku.








   
Sebut sahaja Muar, sudah pasti apa yang terpacul di minda mereka tidak lain dan tidak bukan, satay Muar, mee rebus Muar, mee bandung Muar dan Murtabak Singapura yang cukup sinonim dengan identiti orang Muar, jangan mengaku orang Muar sekiranya tidak mengetahui akan kelebihan dan keunikan Muar dengan makanan tersebut. Hanya di Muar sahaja yang menyediakan hidangan satay sebagai santapan pagi. Kami bertolak seawal 8 pagi semata-mata untuk mengejar waktu untuk menikmati santapan satay di Jalan Suleiman, Muar. 

Sememangnya satay Muar di Jalan Suleiman masih lagi mengekalkan ciri-ciri dan identiti makanan yang terkenal di Muar. Sejak dari kecil, itu lah tempat abah membawa ku untuk minum pagi bersama mama dan adik-beradik yang lain. Kadang kala aku terbayangkan dan terkenang arwah Tok Bah dan Tok Mak kerana kedai itu merupakan kedai kegemaran mereka suatu ketika dahulu, kala mereka masih bernyawa (Al-Fatihah buat Tok Bah dan Tok Mak). Aku menikmati satay Muar dan penangan mee rebus Muar dengan penuh berselera sekali kerana sudah lama aku menginginkannya sementelahan aku sudah lama tidak pulang ke kampung kerana kesibukan bekerja mencari rezeki.

Selesai sarapan pagi, aku sekeluarga bersiar-siar di sekeliling Bandar Maharani sambil mengingat kembali nostalgia lama mereka membesar di situ. Kala melalui rumah lama abah (rujuk Rumah Itu Banyak Jasanya) sayu hati ku kala melihat rumah itu yang suatu masa gah berdiri di situ kini tinggal puing-puing runtuhan rumah berjasa itu. Bagiku, puing-puing itu bukti sebuah keluarga bahagia pernah wujud di situ suatu masa dahulu..... Memang benar, Muar masih sama seperti dahulu walaupun berada dalam arus moden. Kemesraan, kehidupan di Muar seakan-akan tidak pernah luput di kalangan orang Muar kerana mereka mengenali antara satu sama lain termasuklah kedua orang datukku, yang merupakan orang kuat yang cukup terkenal di Muar. Sebut sahaja Haji Jaafar Bin Ishak dan Haji A Rahman Bin Taib, pasti mereka mengenali mereka berdua ini. 

Apabila melalui rumah Tok Mak dan Tok Bah, aku menjadi sayu kerana rumah itu menyaksikan jatuh bangun sebuah keluarga yang sangat bahagia; itu lah keluarga mama ku. Aku dan saudara-mara yang lain membesar di dalam rumah kecil itu dan setiap kali raya menjelang, rumah itu bagaikan hidup dengan hiruk pikuk arwah Tok Helen dengan bahasa yang hanya dia memahami, gelak tawa pak cik dan saudara yang lain dan keseronokan sepupu berjumpa dan bermain. Oh sungguh sayu aku kala ini, kerana rumah itu terlalu berharga buat diriku sendiri kerana di rumah itu lah Tok Mak dan Tok Bah menghembuskan nafas mereka yang terakhir dan bersemadi di pusara abadi Batu 6, Muar. Memang benar, Muar masih seperti dahulu.... walaupun zaman telah pun berlalu. 

Kesimpulannya, Muar masih lagi seperti dahulu, dan setiap kali pulang ke Muar, pasti akan terkenang akan kisah-kisah lama suka duka kehidupan yang membentuk peribadi orang-orang Muar ini. Akhir kata, aku bangga menjadi orang Johor yang berasal dari Muar.

Fadhil Zhafri
0210 hrs

No comments:

Post a Comment