Nuffnang Ads

Wednesday, October 6, 2010

Allah Itu Maha Adil Lagi Maha Mendengar Rintihan Hati Kita

Hidup kita ini ibarat roda, kala kita di atas sana sentiasalah mengingati-Nya dan kala kita tersungkur di bawah, kita juga wajib mengingati-Nya. Segala musibah, ujian itu semuanya berlaku atas kehendak-Nya kerana Dia ingin menguji sejauh manakah kekuatan iman kita dalam menghadapi pancaroba hidup ini. Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, diturunkan ujian serta dugaan kerana Dia menyayangi kita agar kita menjadi orang yang lebih beriman serta mengingati-Nya pada setiap masa kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya untuk mengurniakan ganjaran-ganjaran terhadap umat-Nya. 

Teringat aku pada kata-kata pujangga ini, Allah itu sentiasa mendengar rintihan hati kita dan Insya-Allah sekiranya kita ikhlas dalam memohon dari-Nya, Dia akan membantu kita keluar dari belenggu kehidupan yang penuh pancaroba tetapi apabila kita sudah mencapai apa yang dihajati, teruskan mengingati-Nya dengan Zikrullah kerana ini akan menjadikan diri kita lebih dekat kepada-Nya dan juga menjadikan diri kita insan yang jauh lebih baik dari sekarang dan juga rezeki yang melimpah ruah. Bayangkan dengan hanya niat kita sudah dapat pahala, belum lagi membuatnya, Allahu Akbar!! Allah itu Maha Besar! Hidup ini kenalah berpada-pada; urusan dunia wajib dilaksanakan kerana itu satu amanah namun ibadah perkara yang teramat wajib ke atas kita sebagai hamba-Nya. Dekatkan diri kita pada-Nya, Insya-Allah, Dia akan membantu kita, Allahu Akbar!

Kala aku menukilkan cerita ini, dada aku menjadi sebak, mengenangkan kisah hidupku yang penuh dugaan ini. Mungkinkah aku sering melupakan-Nya, tidak meninggalkan apa yang dilarang-Nya atau tidak mensyukuri nikmat dari-Nya? ataupun Allah hanya menguji ketabahan, kekuatan imanku? Astaghfirullahal'azim, terlalu banyak dosa ku ini pada-Mu Ya-Allah, jiwa ku sentiasa berada dalam keadaan tidak tenang Ya Allah selama ini, adakah ini balasan-Mu terhadap kejahilan aku di masa lalu? Tetapi Subhanallah.... aku telah menyaksikan pelbagai kejadian-kejadian yang memberikan seribu satu keinsafan kepada diriku. Antaranya, balasan terhadap anak yang berlaku kejam terhadap ibu bapanya serta ahli keluarga yang lain (walaupun bukan realiti namun cukup terkesan dengan kejadian itu) balasan terhadap peniaga yang zalim, Ya Allah! Tidak sanggup aku menceritakannya kerana cukup menggerunkan, Astaghfirullah....terlalu gerun aku bila mengenangkannya.... Aku hanyalah manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan khilaf, namun mungkin jua ini adalah pembalasan terhadap dosaku di masa lalu atau proses pembersihan hati dan jiwa. 
Aku bermohon pada-Mu Ya Allah.... permudahkan lah urusanku serta umat-umat Islam seluruh dunia ini Ya Allah. Murahkan lah rezeki kami dan matikan lah kami dalam keadaan yang beriman Ya Allah. Amin Ya Rabbilálamin. 
















 -Fadhil Zhafri-
1408 hrs

 

1 comment:

  1. Jangan la kita mengeluh kerana setiap apa yang berlaku itu adalah ketentuan-Nya.

    ReplyDelete